Sunday, November 28, 2010

Selangor rangkul kejuaraan berganda


Selangor meraih kejuaraan berganda Liga Futsal Kebangsaan Felda/FAM 2010 apabila pasukan lelaki dan wanita mereka memenangi perlawanan akhir di Dewan Matshusita, Kompleks Sukan Negara, Shah Alam, semalam.Pasukan lelaki Selangor terpaksa menanti sehingga penentuan sepakan penalti untuk mengenepikan Johor FC dan menang 3-2, selepas perlawanan dalam masa sebenar berakhir tanpa jaringan.

Walaupun menguasai sebahagian besar perlawanan, Selangor gagal mencari penyudah ekoran ketangkasan penjaga gol Johor FC yang menjadi penghalang.Akhirnya, pada penentuan sepakan penalti, Selangor jelas lebih tenang berbanding Johor FC, apabila berjaya menyempurnakan tiga daripada empat sepakan, manakala Johor FC hanya mampu menjaringkan dua daripada lima sepakan yang diberikan.

Dengan kejayaan itu, Selangor meraih RM 40,000 selaku juara, sementara Johor FC menerima RM 20,000.Ketua pasukan Selangor, Mohd. Farid Mohd. Yusof mengakui lega kerana pasukannya muncul juara selepas menguasai perlawanan.

''Kami mengikut arahan jurulatih dan banyak peluang gol berjaya dicipta, tetapi tiada penyudah untuk mendapatkan gol. Johor FC juga bagus ketika bertahan dan melancarkan serangan balas.''Namun, pada penentuan sepakan penalti, nasib kami lebih baik dan saya anggap ini satu kejayaan manis memandangkan kami tidak pernah meletak sebarang sasaran untuk muncul juara, '' katanya.

Dalam kategori wanita, Selangor menang 2-1 ke atas PDRM.

No comments:

Post a Comment