Monday, November 15, 2010

mcm mana la pasukan PKNS FC tak bermasalah?

PKNS: Khalid didesak siasat salah laku di bawah pentadbiran Othman Omar

KUALA LUMPUR 15 Nov. - Lima persatuan dan kesatuan dalaman Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hari ini mendesak Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya menamatkan kontrak Pengurus Besar PKNS, Othman Omar, dengan serta merta.

Pada masa yang sama, persatuan dan kesatuan juga menuntut Abdul Khalid supaya menjalankan siasatan secara telus dan terbuka terhadap segala dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan yang berlaku di bawah pentadbiran Othman.

Menurut persatuan dan kesatuan tersebut, desakan dan tuntutan itu dibuat selepas mereka dan warga PKNS sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Othman yang didakwa bertanggungjawab mengheret perbadanan itu ke dalam kancah kontroversi.

Lima persatuan dan kesatuan tersebut adalah, Persatuan Pegawai Kanan PKNS; Persatuan Pegawai Eksekutif PKNS; Persatuan Badan Islam PKNS; Persatuan Kebajikan Pekerja PKNS dan Kesatuan Pekerja-Pekerja PKNS.

"Kami secara kolektif mewakili yang warga PKNS, dengan ini melahirkan rasa tidak percaya terhadap kepimpinan Othman selaku Pengurus Besar, berdasarkan beberapa tindakan beliau yang menjejaskan imej serta integriti keseluruhan perbadanan ini.

"Dengan ini, kami mendesak supaya kontrak Othman ditamatkan serta-merta dan menuntut Menteri Besar mengarahkan siasatan telus serta terbuka dibuat terhadap semua dakwaan yang dikemukakan," kata gabungan persatuan tersebut dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Jumaat lalu, akhbar melaporkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungib mendakwa, wujud amalan salah guna dana dalam pembayaran sewa bangunan sementara apabila kosnya mencecah RM9.6 juta untuk tempoh tiga tahun.

Beliau juga mendakwa, wujud amalan kronisme apabila pelantikan jawatan pengurusan bagi anak syarikat perbadanan tersebut, dibuat daripada kenalan pengurusan tertinggi PKNS itu sendiri tanpa melalui pemilihan yang rapi.

Selain itu, Saari juga mendakwa pengurusan tertinggi PKNS menghabiskan sebanyak RM520,000 semata-mata untuk majlis makan malam sempena perkahwinan Angkawasan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha bulan lalu.

Mengulas lanjut, persatuan dan kesatuan tersebut menggariskan enam perkara mengapa mereka sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Othman, antaranya ialah pengurus besar itu bertanggungjawab memecah-belah pentadbiran PKNS.

Mereka juga mendakwa Othman tidak telus dalam mentadbir; tidak mematuhi perintah am dan pekeliling kerajaan serta keputusannya, banyak dipengaruhi pihak tertentu sehingga menyebabkan berlaku aliran wang keluar dalam jumlah yang besar.

"Jawatan pengurus besar perlu disandang oleh individu berintegriti tinggi; memahami; menghayati dan menepati matlamat penubuhan PKNS," tegas persatuan itu lagi.

No comments:

Post a Comment