Monday, November 15, 2010

Iyaz di Shout! Awards 2010


SAMA seperti tahun lalu, malam kemuncak majlis anugerah Shout! Awards 2010 yang bakal berlangsung pada 20 November ini turut dijayakan dengan persembahan penyanyi antarabangsa.

Jika sebelum ini penyanyi popular Sean Kingston muncul sebagai artis luar negara pertama yang membuat persembahan di majlis berkenaan, kini tiba giliran Iyaz yang memperjuangkan genre muzik hip hop, R&B dan raggae fusion pula berpeluang beraksi di hadapan para peminatnya di Malaysia.

Penyanyi berusia 23 tahun itu mencipta nama selepas single sulungnya, Replay, yang dilancarkan pada tahun lepas berjaya mencecah tempat kedua dalam carta Billboard Hot 100 di United Kingdom. Iyaz juga pernah berduet dengan bintang sensasi, Miley Cyrus menerusi lagu Gonna Get This.

Pengurus Besar Rancangan 8TV, Lam Swee Kim berkata, pemilihan Iyaz yang baru muncul dengan single keduanya, Solo, pada Februari tahun ini untuk membuat persembahan pada malam kemuncak Shout! Awards adalah berdasarkan kepada populariti penyanyi tersebut di negara ini.

"Iyaz adalah antara artis luar negara yang kini mempunyai ramai peminat di Malaysia. Biarpun pada awalnya agak sulit untuk mendapatkan Iyaz, tetapi akhirnya kami berasa lega setelah dia memberikan persetujuan.

"Apa yang lebih membanggakan, kedatangan Iyaz ke Malaysia juga adalah semata-mata untuk membuat persembahan di majlis anugerah Shout! Awards," ujarnya pada satu sidang akhbar baru-baru ini.

Menurut Swee Kim, sebelum ini pihak penganjur telah mengundang beberapa artis luar negara dan ada yang bersetuju, namun mereka terpaksa menolak pada saat-saat akhir kerana pertindihan jadual.

Iyaz merupakan penyanyi kelahiran British Virgin Islands dan bakatnya mula dikesan oleh Sean Kingston pada tahun 2008 melalui laman web Myspace. Dia akan menyampaikan dua buah lagu pada malam itu.

Pada sidang media itu Swee Kim turut diumumkan hos yang akan menjadi pengacara pada anugerah hiburan yang bercorak urban itu.

Teka-teki mengenai hos yang bakal mengacarakan anugerah gilang-gemilang yang akan diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil itu akhirnya terjawab apabila diumumkan tiga selebriti popular akan mengendalikannya iaitu Hafiz Hatim, Sarah Lian dan Henry Golding.

Sementara itu, antara artis yang akan menghangatkan lagi pentas Shout! Award 2010 ialah Yuna, Mizz Nina, Faizal Tahir, Najwa, James Baum, Reshmonu, Sean Lee dan Shazat. Tidak ketinggalan juga band popular seperti Hujan, Deja Voodoo, Bitter Sweet, Love Me Butch serta Wakaka Crew.

Selain dihangatkan dengan persembahan artis, selebriti Adibah Noor, Zizan, Johan, Liyana Jasmay, Hans Isaac, Chef Wan, Nora Danish, Diana Danielle, Andrea Fonseka dan Maya Karin pula diberi penghormatan untuk menyampaikan anugerah yang berprestij itu kepada para pemenang.

Pada masa yang sama, Swee Kim memberitahu, buat julung-julung kalinya majlis anugerah berkenaan akan disiarkan secara langsung di saluran 8TV, dua saluran radio Red FM dan Fly FM serta melalui laman web www.tonton.com.my dan mobile.8tv.com.my bermula pada pukul 8.30 malam.

Kepada para peminat yang ingin menyaksikan anugerah itu secara langsung di Bukit Jalil, mereka boleh mendapatkan tiket-tiket eksklusif di pondok pengawal Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya bermula 1 November lalu atau dengan melayari laman Facebook Fan Page Shout! Awards 2010.

No comments:

Post a Comment