Monday, September 6, 2010

UMNO, Pas sambut baik kenyataan NU

UMNO, Pas sambut baik kenyataan NU

KUALA LUMPUR 6 Sept. - Dua parti politik Melayu-Islam terbesar di Malaysia, UMNO dan Pas menyambut baik kenyataan organisasi Islam terbesar Indonesia, Nahdatul Ulama (NU) yang menegaskan bahawa hubungan persaudaraan antara Malaysia dengan Indonesia adalah terlalu kuat untuk dirosakkan.

Bagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, kenyataan itu merupakan pendirian positif dan rasional yang seharusnya disambut dengan semangat ukhuwah dan penyatuan oleh seluruh rakyat di kedua-dua negara.

"Rakyat di Malaysia dan Indonesia usah sesekali terjebak dengan perangkap dipasang pihak ketiga yang mahu melihat berlaku konflik di antara kedua-dua negara.

"Kita bernasib baik kerana pimpinan utama kedua-dua negara bersikap sebagai negarawan yang jelas berhasrat memperkasakan hubungan pelbagai hala dan bukan sebaliknya," katanya yang sedang menunaikan umrah ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Ketua Dewan Syura NU Pusat, Kyai Haji Masdar Farid Mas'udi menyifatkan hubungan di antara Malaysia dan Indonesia seperti abang-adik sehingga terlalu kuat untuk dirosakkan oleh kepentingan ego individu.

Menurutnya, kedua-dua negara bakal mengalami kerugian sekiranya timbul sebarang konflik dan pihak ketiga yang tidak suka dengan persaudaraan Malaysia dan Indonesia akan mengambil manfaat daripada situasi itu.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa turut bersetuju dengan kenyataan Masdar sambil menegaskan tidak perlu ada sebarang ketegangan timbul di antara kedua-dua negara berjiran tersebut.

"Sebarang perselisihan faham perlu dibawa berbincang dalam suasana saling menghormati. Hubungan ini bukan sesuatu yang baru dan saya percaya kedua-dua negara cukup matang untuk mengurus perbezaan dalam suasana persaudaraan.

"Dengan mengambil semangat Ramadan, kita selesaikan isu ini di meja perbincangan tanpa berlaku sebarang keganasan. Meskipun pernah timbul beberapa masalah, ambillah ia sebagai cabaran yang mematangkan kita," katanya.

Nasharudin dalam pada itu berkata, beliau turut menghargai usaha yang diambil kerajaan Malaysia dan Indonesia yang mahu menangani isu berkenaan dalam suasana harmoni.

"Semua pihak seharusnya mengambil inisiatif meredakan keadaan. Ahli Parlimen Malaysia boleh mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Indonesia dan begitu juga dengan agensi serta jabatan-jabatan lain," katanya.

No comments:

Post a Comment