Monday, September 13, 2010

Selangor, N. Sembilan mahu langkah kanan


Juara Liga Super 2010, Selangor mahu mencari mata maksimum apabila memulakan kempen Piala Malaysia dengan menerima kunjungan T-Team di Stadium Shah Alam, malam ini, begitu juga dengan penyandang juara, Negeri Sembilan.

Jurulatih Selangor, K. Devan berpegang kepada satu matlamat - mencatat kemenangan dalam semua perlawanan di tempat sendiri, sambil beraksi konsisten di gelanggang lawan.

Menurut Devan, dia berharap pemainnya menunjukkan fokus yang tinggi dalam perlawanan pertama Kumpulan D selepas berehat panjang di bulan Ramadhan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

"Saya mahu Selangor memulakan kempen Piala Malaysia dengan langkah kanan, terutama sekali beraksi di tempat sendiri. Kami tiada pilihan lain kecuali meraih tiga mata pertama," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Jelasnya, pemain tidak boleh mengambil mudah bertemu pasukan T-Team, ini kerana wakil Terengganu itu berjaya menunjukkan prestasi cemerlang dalam saingan Liga Super musim ini dengan menduduki tempat keenam.

"T-Team adalah sebuah pasukan yang memiliki ramai pemain berpengalaman sambil dibantu oleh pemain muda berbakat dari skuad Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu, namun kami sudah mengetahui kelemahan dan kekuatan mereka.

"Apa yang saya harapkan, pemain kami dapat bertindak bijak dan tidak mempersiakan peluang beraksi di gelanggang sendiri," katanya.

Sementara itu pengendali Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan juga mengharapkan pasukannya mampu mencuri tiga mata bertemu Kelantan di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV bagi perlawanan pembukaan Kumpulan A.

Katanya, apa yang perlu dilakukan oleh pemainnya ialah beraksi dengan penuh berhati-hati kerana Kelantan bukan calang-calang pasukan dan dilihat mantap bagi setiap posisi.

"Saya harap pemain berusaha keras untuk mencapai kejayaan di tempat lawan, seterusnya membawa pulang tiga mata, walaupun dua tonggak utama Aidil Zafuan Abd. Radzak dan adik kembarnya, Zaquan Adha Abd. Radzak tidak dapat beraksi.

"Aidil digantung perlawanan manakala Zaquan pula mengalami kecederaan ketika mewakili skuad kebangsaan tetapi bola sepak adalah permainan yang melibatkan 11 pemain, kami masih mempunyai dua pemain yang mampu mengisi kekosongan tersebut," katanya.

Norizam Salaman dan Mohd. Rahman Zabul dijangka akan mengisi kekosongan tersebut, serta dapat berdepan dengan penyokong fanatik tuan rumah dengan tenang.

Satu lagi perlawanan Kumpulan A menyaksikan KL Plus menentang PKNS di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, manakala Kumpulan B, Terengganu lawan Pahang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Lumpur bertemu Sabah di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Kumpulan C melibatkan pertembungan di antara Johor FC dan Kedah di Stadium JCORP, sementara itu Perak menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Perak, satu lagi perlawanan Kumpulan D menyaksikan Perlis bertemu Felda United di Stadium Utama, Kangar.

No comments:

Post a Comment