Monday, September 6, 2010

raya hari khamis ???


KUALA LUMPUR 6 Sept. - Umat Islam dinasihatkan tidak terpengaruh dengan khabar angin mengatakan Hari Raya Aidilfitri akan disambut Khamis ini.

Sebaliknya, mereka diminta menunggu pengumuman rasmi mengenainya oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada malam Rabu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, khabar angin itu sengaja disebarkan oleh pihak yang berkepentingan termasuk peniaga bagi melariskan jualan mereka.

Jelasnya, pihak terbabit bertindak demikian untuk mendapatkan keuntungan berganda kerana kebanyakan rakyat negara ini suka membeli barangan keperluan pada saat-saat akhir.

"Saya menerima banyak kiriman SMS (khidmat pesanan ringkas) daripada orang ramai yang bertanyakan mengenai tarikh sebenar hari raya iaitu sama ada Khamis atau Jumaat.

"Bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan mungkin akan diambil kesempatan oleh sesetengah pihak yang berkepentingan. Saya hanya menjawab hari raya jatuh pada 1 Syawal," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum majlis Penyerahan Dana Nafkah anjuran Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Hakim Syari'e Malaysia merangkap Ketua Pengarah JKSM, Tan Sri Ibrahim Lembut; Pengerusi Jawatankuasa Kerja BSK, Datuk Kamilia Ibrahim dan Timbalan Pengarah BSK, Dr. Naim Mokhtar.

No comments:

Post a Comment