Tuesday, September 14, 2010

Projek raksasa awal tahun depan - hebatlah

Projek raksasa awal tahun depan

KUALA LUMPUR 13 Sept. - Projek pembangunan saluran paip gas asli (LNG) bernilai AS$50 bilion (RM155 bilion) menghubungkan perairan Malaysia berdekatan Pekan, Pahang sehingga perairan Korea Selatan akan bermula suku pertama tahun depan.

Projek itu akan dilaksanakan secara bersama-sama antara syarikat pembekal minyak dan gas tempatan, Distinct Objective Sdn. Bhd. (DOSB) dengan B.O.T Co. Ltd..

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif DOSB, Shaharuddin Abdul Manan, projek Trans-Oriental Gas Pipeline (TOGP) yang merentasi Asia sejauh 4,000 kilometer itu akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu pembinaan paip utama dan penyambungan kepada paip utama.

"Projek pemasangan paip utama dalam fasa pertama melibatkan jarak hampir 2,500 kilometer. Fasa kedua pula adalah proses memasang paip penyambung dengan paip utama sejauh 1,500 kilometer.

"Projek ini dijangka siap pada tahun 2015," kata Shaharuddin dalam kenyataannya di sini.

Jelas beliau, projek itu dibangunkan berdasarkan permintaan yang semakin tinggi untuk penggunaan bahan api yang lebih bersih dan berkonsepkan hijau.

TOGP akan menyalurkan LNG ke negara-negara seperti China, Taiwan, Korea Selatan dan Jepun yang menggunakan hampir 68 peratus gas asli sebagai sumber tenaga.

Saluran paip itu juga akan melintasi China dan Taiwan.

Beliau berkata, matlamat DOSB adalah menyediakan kemudahan penyaluran gas asli yang terbaik dan cekap kepada mereka yang memerlukan sumber tenaga itu terutamanya sektor perkhidmatan pengangkutan.

"Permintaan terhadap penggunaan gas asli dari India dan China menjadikan prospek perniagaan ini semakin cerah," katanya.

Jelasnya, industri LNG semakin pesat dalam tempoh lima tahun yang akan datang, dengan kapasiti keluaran melepasi 370 juta tan setahun menjelang tahun depan.

DOSB baru-baru ini telah memeterai perjanjian persefahaman dengan B.O.T untuk membangunkan saluran paip LNG, projek pertama seumpamanya di negara ini.

Naib Pengerusi B.O.T, Han Kwang Soo sebelum ini berkata, pihaknya menghargai kepercayaan yang diberikan oleh DOSB untuk menjadi pelabur utama di dalam projek tersebut.

"Kami akan memulakan tugas-tugas peringkat awal seperti dalam perjanjian seterusnya menandatangani kontrak utama," ujarnya.

No comments:

Post a Comment