Thursday, September 16, 2010

Program Susu Sekolah 1Malaysia dilancar


SANDAKAN 16 Sept. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan program Susu Sekolah 1Malaysia dalam usaha melahirkan generasi muda yang sihat dan cerdas.

Najib berkata, program yang akan dimulakan awal bulan depan melibatkan semua murid sekolah rendah.

"Sebenarnya hari ini empat dalam satu yang mana kita menyambut Juara Rakyat, kedua Hari Malaysia, ketiga Semangat 1Malaysia dan satu lagi Susu 1Malaysia.

"Ia merupakan cita-cita saya bagi membangunkan generasi baru Malaysia yang lebih besar tubuh badan dan cergas otaknya.

"Jadi saya hendak memperkenalkan susu 1Malaysia yang akan dibekalkan kepada semua murid sekolah rendah dari Perlis hingga ke Sabah," katanya ketika berucap pada program Juara Rakyat Peringkat Negeri Sabah dan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Padang Bandaran Sandakan di sini hari ini

Menurut Najib, program susu ini akan melibatkan peruntukan sedia ada Kementerian Pelajaran kira-kira RM4 juta.

Bagaimanapun, katanya, peruntukan tersebut akan ditambah dari semasa ke semasa bagi membolehkan semua murid sekolah rendah terlibat.

Dalam pada itu Najib berkata, susu berkenaan akan dibekalkan oleh pengeluar tempatan.

"Saya diberi jaminan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman bahawa Sabah mempunyai keupayaan untuk memenuhi keperluan program susu 1Malaysia ini untuk semua sekolah rendah," katanya.

Beliau turut menyeru penduduk di negeri ini mengambil kesempatan dengan melibatkan diri dalam penternakan lembu tenusu bagi menambah pendapatan.

No comments:

Post a Comment