Friday, September 10, 2010

Pen, berus gigi jadi senjata di penjara

Pen, berus gigi jadi senjata

PUTRAJAYA 9 Sept. – Siapa sangka peralatan yang digunakan seharian seperti pen, berus gigi, sudu dan klip paip boleh dijadikan sebagai senjata tajam?

Namun, itu antara penemuan pihak Jabatan Penjara ketika melakukan pemeriksaan rutin ke atas penghuni penjara di negara ini.

Mengakui kreativiti mereka, Timbalan Pengarah Keselamatan Jabatan Penjara, Supri Hashim berkata, kebanyakan banduan mengubah suai peralatan berkenaan berasaskan beberapa faktor termasuk berasakan diri tidak selamat dan untuk tujuan pergaduhan.

Bercakap kepada media di sini, baru-baru ini, Supri berkata, benda lain seperti batu, kaki kerusi kayu yang dipatahkan, dan paku turut ditemui dan diubah suai menjadi senjata tajam.

“Bagi memastikan keselamatan, pihak penjara adakan pemeriksaan mengejut selain pemeriksaan setiap pagi. Daripada situ kita akan tahu jika ada peralatan telah diambil untuk dijadikan senjata dan tugas kita ialah mendapatkannya sebelum ia digunakan,” katanya.

Supri berkata, sekalipun pihaknya sering menemui senjata tajam buatan sendiri tersebut, belum ada kematian dilaporkan berlaku akibat pergaduhan atau penggunaan senjata terbabit.

“Pergaduhan membabitkan banduan juga sebenarnya sangat jarang berlaku dalam penjara,” katanya.

Supri berkata, hanya 31 kematian membabitkan banduan dilaporkan berlaku di dalam penjara di seluruh negara sepanjang tempoh 10 tahun lepas dan kebanyakan disebabkan penyakit yang dihidapi mereka seperti HIV/AIDS selain bunuh diri.

Supri berkata, jika mereka dijumpai memiliki senjata, hukuman banduan terbabit akan dilanjutkan untuk satu tempoh yang ditetapkan dan hukuman rotan dikenakan serta menarik keistimewaan sesi perjumpaan dengan keluarga.

No comments:

Post a Comment