Thursday, September 16, 2010

Ladang Gadong jadi tumpuan pada cuti umum semalam


KUALA LANGAT 16 Sept. - Ladang Gadong di Tanjung Sepat, yang tidak pernah menarik perhatian pengunjung Pantai Morib sebelum ini kini menjadi tumpuan gara-gara kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya.

Mereka yang mengunjungi destinasi pelancongan itu sempena cuti umum Hari Malaysia hari ini, tidak mahu melepaskan peluang meninjau ladang yang dikatakan menjadi tempat pembunuhan usahawan itu dan tiga individu lain.

Beberapa pengunjung dilihat keluar dari kereta dan menghabiskan masa sekurang-kurangnya 30 minit di kawasan itu meskipun hanya dapat melihat lokasi kejadian dari jarak kira-kira 400 meter.

Sejak pukul 10 pagi, kenderaan orang awam tidak putus-putus menghampiri kawasan tersebut. Di kiri kanan jalan, kenderaan bersusun sepanjang 30 meter yang kebanyakannya menggunakan nombor pendaftaran Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Selangor.

Sehingga pukul 6 petang, masih ada yang tidak beredar dan jumlah mereka melebihi wartawan dan jurugambar yang membuat liputan mengenai kes pembunuhan itu sejak beberapa hari lalu.

Ada yang turut mengambil kesempatan bergambar bersama keluarga berdekatan papan tanda yang tertulis Ladang Gadong, Banting sebagai kenangan.

Perbualan wartawan dengan orang ramai mendapati mereka sebenarnya datang untuk menghabiskan cuti umum bersama keluarga di Pantai Morib.

Pada masa sama mereka tidak mahu terlepas untuk melihat sendiri kawasan yang dikatakan menjadi lokasi pembunuhan kejam itu.

No comments:

Post a Comment