Sunday, September 12, 2010

Kebebasan di AS pada tahap gila

Mahathir Mohamad berkata, kebebasan hak asasi manusia yang diamalkan di Amerika Syarikat (AS) pada masa ini telah mencapai tahap gila.

Ujarnya, beliau amat hairan dengan sikap kerajaan AS kerana sanggup membiarkan rakyatnya membuat apa sahaja tanpa dikenakan sebarang tindakan walaupun perbuatan yang dirancang itu jelas menghina Islam.

Beliau berkata, sekiranya perkara yang sama berlaku di Malaysia sudah tentu individu terbabit akan dikenakan tindakan undang-undang kerana ia boleh menjejaskan keamanan negara.

''Jika di Malaysia individu seperti ini tidak akan dibiarkan.

Kita tidak pernah benarkan orang mencemar masjid atau gereja.
''Ini kerana perbuatan seperti itu jelas menghina agama lain dan kaum lain,'' katanya kepada pemberita ketika mengadakan rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di The Mines dekat sini hari ini.


Beliau mengulas rancangan paderi Terry Jones dari sebuah gereja kecil di Gainesville, Florida yang merancang untuk mengadakan majlis membakar al-Quran sempena ulang tahun serangan pengganas 11 September di Pusat Dagangan Dunia (WTC), New York, pada 2001.

Bagaimanapun rancangan itu dibatalkan ekoran gesaan Presiden Barack Obama agar diwujudkan toleransi agama.

Rancangan tersebut telah mencetuskan kemarahan global yang dibimbangi akan menyebabkan gelombang serangan kekerasan ke atas negara-negara Barat dan tentera-tentera yang bertugas di Iraq dan Afghanistan.

Mahathir berkata, rakyat AS pada masa ini telah diberikan kebebasan tanpa tiada sekatan sehingga mereka yang mahu melakukan satu perkara tidak baik dibiarkan begitu sahaja.

''Ini kerajaan apa?

Bila rakyat berbuat sesuatu yang tidak baik kena rayu pula...janganlah,'' katanya.

Menjawab soalan mengenai pelaburan langsung asing (FDI), beliau berkata, memang diakui kebanyakan pelabur asing kini lebih berminat melabur di negara-negara lain seperti China dan Vietnam.

Saya fikir sudah tiba masanya kerajaan memberi sokongan dan bantuan kepada pengusaha-pengusaha tempatan untuk menggantikan tempat FDI,'' katanya lagi.

No comments:

Post a Comment