Wednesday, September 15, 2010

Devan tetap puas hati


WALAUPUN gagal mempamerkan prestasi diharapkan, jurulatih Selangor, K Devan tetap berpuas hati dengan persembahan dipamerkan anak buahnya apabila membenam cabaran T-Team 3-1 pada perlawanan pembukaan Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, kelmarin.
Beliau menjelaskan keadaan fizikal pemainnya tidak berada di tahap terbaik pada perlawanan itu selepas cuti Hari Raya Aidilfitri pada minggu lalu.


Pandangan itu tampak berasas apabila juara Piala Malaysia 32 kali itu terpaksa menunggu sehingga separuh masa kedua untuk menjaringkan tiga gol melalui D. Surendran, Rudie Ramli dan R. Surendren walaupun lawan bermain dengan 10 orang selepas pemain pertahanan lawan, Nur Alif Zainal Abidin dilayangkan kad merah seawal minit ke-23.


“Pada separuh masa pertama permainan Selangor kurang tersusun dengan melakukan hantaran tidak kemas, banyak hilang bola dan gagal menyudahkan beberapa peluang dicipta.


“Namun semuanya berubah pada separuh masa kedua apabila kita bermain lebih baik dengan menguasai sebahagian besar permainan dan seterusnya berjaya mencipta banyak peluang dan seterusnya menjaringkan tiga gol untuk memastikan tiga mata menjadi milik kami pada perlawanan pertama,” katanya.


Devan bagaimanapun menambah masih terdapat ruang untuk diperbaiki terutamanya bahagian pertahanan yang sedikit leka pada saat-saat akhir permainan membolehkan pelawat menjaringkan gol sagu hati menerusi rembatan Rosli Muda gagal ditepis keluar penjaga gol, Hamsani Ahmad “Mereka mungkin merasa selesa selepas mendahului dengan jaringan yang besar,” tambahnya yang bagaimanapun gembira dengan komitmen dan kesungguhan yang dipamerkan pemain.


Mengenai perlawanan seterusnya menentang Felda United pada Jumaat ini di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras, Devan berkata ia adalah satu perlawanan yang tidak boleh dipandang ringan bagi merebut dua tempat teratas di dalam kumpulan D untuk mara ke peringkat suku akhir.


“Walaupun pasukan itu bersaing di dalam Liga Perdana, kebanyakan pemainnya adalah berpengalaman di mana taraf mereka adalah sama seperti pemain di Liga Super,” katanya.

No comments:

Post a Comment