Thursday, September 16, 2010

Ajax terbukti bukan lawan Real




MADRID - Bos Ajax yang juga bekas jurulatih Tottenham, Martin Jol mengakui pertembungan pasukannya, yang dibarisi pemain muda dengan kelab bimbingan Jose Mourinho, Real Madrid, ibarat pertemuan 'pemain junior dan senior' apabila pasukannya kalah 0-2 dalam Liga Juara-Juara.

Mourinho, yang memenangi Liga Juara-Juara bersama Inter Milan di Bernabeu, Mei lalu menyaksikan pasukannya menang hasil gol sendiri pemain pertahanan berusia 21 tahun, Vurnon Anita dan rembatan pemain antarabangsa Argentina, Gonzalo Higuain pada aksi pembukaan Kumpulan G.

Namun, Jol percaya kekalahan itu merupakan satu pengalaman yang berguna buat pemainnya.

"Ia adalah pertembungan di antara pemain muda yang menentang pemain berpengalaman dan bertaraf antarabangsa.

"Pemain lawan tahu bagaimana untuk bermain, langsung tidak membenarkan kami meningkatkan permainan.

"Kami perlu mendapatkan bola. Mereka melakukan 30 percubaan gol, ternyata mereka menguasai perlawanan ini,'' kata Jol.

Kemenangan tersebut membolehkan Real mengutip tiga mata penuh, dalam kumpulan yang turut disertai bekas juara, AC Milan, yang mencatat kemenangan semalam.

Real masih belum melepaskan sebarang gol dalam tiga perlawanan di bawah kendalian Mourinho, yang percaya kelab gergasi Sepanyol itu cukup bersedia untuk memenangi Liga Juara-Juara buat pertama kali sejak 2002, setelah mereka gagal melepasi peringkat 16 pasukan terbaik, sejak enam musim lalu.

Madrid sepatutnya mampu mencatat kemenangan lebih besar dan Mourinho berkata, hanya masa yang akan menentukan sebelum ada pasukan lain yang mampu memberikan cabaran sebenar kepada pasukannya.

"Kami bermain dengan baik, malah kami tidak membenarkan mereka beraksi seperti mana yang mereka mahukan.

"Satu hari akan ada pasukan kerdil yang akan menghukum kami, kerana kami gagal menyempurnakan beberapa peluang gol yang terbuka,'' kata Mourinho.

Jurulatih kelahiran Portugal itu menambah, pasukannya juga masih muda seperti mana Ajax dan menolak kenyataan Jol, pengalaman merupakan kunci kepada kemenangan Real.

"Tidak... Ini bukan perlawanan budak-budak menentang orang dewasa.

"Real Madrid juga merupakan sebuah pasukan muda, tanpa mengambil kira pemain seperti Carvalho, Casillas dan Xabi Alonso.

No comments:

Post a Comment