Saturday, July 31, 2010

selangor mempertahankan juara liga super buat kali kedua pada 2010




KUALA LUMPUR - Selangor berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Super buat kali kedua berturut-turut selepas menewaskan Terengganu di Stadium Shah Alam, semalam.

Tiga mata berharga itu sudah cukup buat Selangor menafikan hajat Kelantan selepas memungut 63 mata, meninggalkan Red Warriors, lima mata di belakang dengan baki satu perlawanan.

Kelantan berjaya menundukkan Johor 3-1 di Stadium JCorp, namun kemenangan itu tidak mencukupi untuk menghalang Selangor berpesta di Shah Alam.

Gol daripada Mohd. Amirul Hadi Zainal pada minit ke-66 dan jaringan penalti Mohd. Safiq Rahim pada minit ke-74 memastikan kira-kira 30,000 penonton setia Merah Kuning pulang gembira melihat Selangor menjulang trofi di laman sendiri.

Pun begitu, jentera serangan Red Giants kurang bermaya pada separuh masa pertama sebelum mempertingkatkan usaha sebaik babak kedua bersambung.

Gol pertama Selangor hadir melalui gerakan licik pemain kebangsaan, Mohd. Safiq Rahim yang bergerak dari sebelah kanan sebelum memperdayakan seorang pertahanan Terengganu.

Selepas melepasi kawalan pemain Terengganu, Safiq tenang melakukan hantaran silang yang singgah tepat di kepala Mohd. Amirulhadi Zainal sebelum menanduk masuk menewaskan Sharbinee Allawee.

Selangor kian memperkukuhkan kedudukan apabila pengadil menganugerahkan sepakan penaltiapabila pertahanan Terengganu, Zubir Amin menjatuhkan ketua pasukan, Mohd. Amri Yahyah.

Safiq mudah menewaskan Sharbinee selepas melepaskan rembatan deras ke arah sebelah kanan pintu gol Terengganu.

Selaku juara Liga Super, Selangor berjaya meraih wang tunai RM 500,000. Hadiah disampaikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Abdul Mokhtar Ahmad.

No comments:

Post a Comment