Saturday, July 31, 2010

selangor juara liga super 2010


JUARA bertahan, Selangor berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Super selepas menumpaskan Terengganu 2-0 pada perlawanan di Stadium Shah Alam malam tadi.
Walaupun saingan Liga Super masih berbaki satu perlawanan Selasa ini, Kelantan yang kini berada di tangga kedua dengan 58 mata, tidak mampu lagi untuk memintas Selangor.
Pasukan Red Giants itu yang mengulangi kemenangan takhta Liga Super musim lepas kini sudah pun mengutip 63 mata.
Kemenangan Selangor pada perlawanan ke-25 malam tadi diperolehi menerusi jaringan Amirulhadi Zainal pada minit ke-66 dan sepakan penalti Safiq Rahim pada minit ke-74.
Selaku juara Liga Super, Selangor bakal mendapat hadiah wang tunai RM500,000 sementara naib juara, Kelantan mendapat RM300,000.
Perlawanan malam tadi menyaksikan aksi seimbang pada separuh masa pertama dengan Selangor dan Terengganu berjaya melancarkan serangan-serangan berbahaya ke arah kubu lawan.
Namun kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan dan menuju ke bilik persalinan dengan kedudukan terikat 0-0.
Selangor yang terpaksa mengeluarkan Khairul Anuar Baharom pada awal separuh masa pertama memulakan babak kedua dengan Fazilidin Khalid masuk menggantikan Rudie Ramli yang turut mengalami kecederaan.
Usaha Selangor memburu gol bermula pada minit ke-48 apabila rembatan Hardi Jaafar berjaya ditepis keluar Sharbinee Allawee Ramli yang melayangkan badannya dengan baik.
Dua minit kemudian, percubaan Amirulhadi pula sedikit tersasar biarpun dia hanya berdepan dengan Sharbinee.
Pada minit ke-59, peluang Selangor sekali lagi dinafikan kali ini tolakan Amirulhadi sempat diselamatkan di atas garisan gol oleh pemain pertahanan Terengganu, Zubir Azmi.
Sharbinee terus menjadi penghalang buat Selangor apabila dengan cemerlang menghadang rembatan Safee yang menerima hantaran jauh menerusi sepakan percuma Amri Yahyah pada minit ke-63.
Akhirnya gawang Terengganu bolos pada minit ke-66 menerusi tandukan Amirulhadi yang menerima lambungan Safiq dari sebelah kiri sekali gus memerangkap Sharbinee untuk Selangor mendahului 1-0.
Gol kedua Selangor menyusul pada minit ke-74 menerusi penyudah sepakan penalti yang baik oleh Safiq setelah Zubir menjatuhkan Amri seminit sebelum itu.
Pada minit ke-81, Selangor membuat pertukaran terakhir dengan memasukkan R. Surendren menggantikan Amri tetapi kedudukan 2-0 itu kekal sehingga wisel penamat.
Sejurus perlawanan, trofi Liga Super telah disampaikan oleh Timbalan Presiden FAS, Datuk Mokhtar Ahmad kepada ketua pasukan, Amri.
Selangor bakal menamatkan saingan Liga Super musim ini bertemu Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Selasa ini.
SELANGOR: 21.Hamsani Ahmad, 3.Razman Roslan, 5.Khairul Anuar Baharom (19.D.Surendran), 11.Zaiza Zainal Abidin, 15.P.Gunalan, 20.Amirulhadi Zainal, 14.Hardi Jaafar, 17.Amri Yahyah (c) (23.R.Surendren), 8.Safiq Rahim, 9.Rudie Ramli (25.Fazilidin Khalid), 10.Safee Sali.
Simpanan tidak digunakan: 22.Iqbal Suhaimi, 4.Asraruddin Putra Omar, 7.Farderin Kadir, 18.Liew Kit Kong.
TERENGGANU: 25.Sharbinee Allawee Ramli (c), 4.Hassan Basri, 5.Shahrizam Mohd, 9.Wan Aliff Jasmi, 10.Abd. Manaf Mamat, 12.Joseph Kalang Tie, 18.Ahmad Nordin Alias, 19.K.Rajan (8.Firdaus Faudzi), 22.Ashaari Shamsuddin, 23.Zharif Hasna (15.Tengku Hazman Raja Hassan), 26.Zubir Azmi.
Simpanan tidak digunakan: 24.Shamirza Yusoff, 11.Ronny Harun, 27.Fahmi Izzudin Zuki, 28.Mohd Nor Hakim Hassan, 29.Afizuddin Ali.
PENGADIL: Shokri Nor

No comments:

Post a Comment