Friday, July 30, 2010

Selangor hampiri kejuaraan Super

KUALA TERENGGANU - Penyandang juara, Selangor melangkah setapak lagi untuk menjulang kejuaraan Liga Super selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas T-Team sekali gus mengukuhkan kedudukannya di tangga teratas.

Gergasi Merah yang menundukkan T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kelmarin bagaimanapun dipaksa bekerja keras sebelum memperoleh dua gol menerusi Safee Sali dan Rudie Ramli.

Lima mata membezakan dengan Kelantan yang menghuni tangga kedua menjadikan skuad kendalian K. Devan itu masih kental menerajui liga dalam memburu kejayaan yang kini hanya berbaki dua perlawanan lagi.

''Kita memang bermain dalam tekanan dan ia dirasai oleh pemain-pemain sehingga menyebabkan mereka bermain secara berhati-hati semalam.

"T-team memberikan persembahan yang baik sehingga menyebabkan kita terpaksa berjuang sehingga ke minit 90 untuk memperolehi dua mata itu," kata Devan.

Dalam pada itu, Devan turut mengakui bahawa anak didik Che Ku Marzuki menguji kemampuan pasukannya apabila T-Team berjaya menyamakan jaringan yang dihasilkan oleh pemain gantian, Shamsul Kamal Mohamad pada minit ke-63.

"Saya harus memberi pujian kepada Shamsul Kamal yang berjaya menyamakan kedudukan T-Team dengan jaringan gol yang amat cantik menjadikan T-Team juga merupakan pasukan yang hebat.

"Namun, ia mungkin berpihak kepada kami yang lebih berpengalaman lebih-lebih lagi ketika permainan sudah hampir ke penghujung musim. Pemain berjaya menyerap setiap tekanan dan sebab itu kami berada di tahap ini," jelasnya.

Ditanya peluang pasukannya untuk muncul juara musim ini, Devan mengakui laluan mereka kini semakin luas dalam misi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu.

"Kita telah berada di kedudukan selesa dengan kelebihan lima mata, jadi pemain saya hanya perlu bermain seperti biasa tanpa tekanan apatah lagi jika kita menang ke atas Terengganu di Shah Alam, Sabtu ini yang akan menamatkan tekanan mereka sepanjang musim ini,'' katanya.

No comments:

Post a Comment