Friday, July 30, 2010

selangor hampiri kejuaraan berganda musim ini

KUALA LUMPUR - Hanya selangkah lagi buat Selangor merasai nikmat bergelar juara Liga Super kali kedua berturut-turut dan semangat skuad Red Giants semakin membara menjelang pertembungan dengan Terengganu, hari ini.

Lebih bermakna, jika tiga mata berjaya dituai, Selangor berpeluang meraikan kejayaan meraih trofi Liga Super di depan puluhan ribu penyokong setia Merah Kuning di Shah Alam.

Demikian hajat jurulatih Selangor, K. Devan, yang menuntut pemain memberikan aksi sempurna dalam perlawanan paling penting buat skuad dari Lembah Klang untuk musim ini.

''Dalam situasi sekarang, saya menyeru para pemain mencurahkan segala yang mereka ada di atas padang, kurangkan kesilapan dan tampilkan persembahan paling hebat, supaya misi memburu tiga mata akan terlaksana.

''Sayang sekali, jika kami gagal meraih kemenangan, kami tidak berpeluang meraikan di tempat sendiri, walaupun kami mungkin boleh mengesahkan kejuaraan kami di Kedah selepas ini.

''Oleh itu, saya minta para pemain jangan sia-siakan peluang ini,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Selangor akan dinobatkan juara Liga Super musim ini jika mengalahkan Terengganu hari ini, tanpa mengambil kira keputusan perlawanan di antara pencabar terdekat, Kelantan dan Johor FC.

Begitupun, Devan waspada jerat Terengganu terutamanya melalui senjata utama mereka, Mohd. Ashaari Shamsudin, yang kini merupakan penjaring gol terbanyak Liga Super dengan 17 gol.

''Saya sedar Terengganu begitu konsisten dalam beberapa perlawanan terakhir, kerana berjaya mencatatkan kemenangan dengan gol yang besar.

''Namun itu tidak menjadi kebimbangan saya, kerana kami belum ditewaskan di Shah Alam dan Terengganu bakal menempuh laluan sukar jika mahu menewaskan kami, '' katanya.

Turun tanpa khidmat Mohd. Bunyamin Omar kerana kecederaan lutut, Devan tidak dipalit resah kerana masih mempunyai Mohd. Amri Yahyah dan Mohammad Hardi Jaafar untuk mengemudi bahagian tengah.

Bercakap soal ganjaran, Devan mengakui pihak pengurusan Selangor telah menjanjikan bonus sebagai hadiah, sekiranya memenangi Liga Super.

Namun dia tidak mahu para pemain terlalu memikirkan soal itu, kerana perjuangan mereka masih belum selesai.

''Jangan meletakkan ganjaran sebagai perkara utama. Kami belum memenangi apa-apa. Saya tidak mahu mereka hilang fokus kerana ia memberikan ruang kepada lawan mengecewakan kami, '' katanya.

No comments:

Post a Comment