Saturday, July 31, 2010

Buang bayi makin menjadi-jadi


NIBONG TEBAL 31 Julai - Kes pembuangan bayi nampaknya semakin menjadi-jadi meskipun pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan bagi mengatasi masalah sosial ini.

Sejak awal tahun ini sehingga hari ini, sebanyak 22 kes buang bayi dan janin dilaporkan berlaku di seluruh negara. Itu belum termasuk kes-kes yang tidak dilaporkan oleh media.

Terbaru, seorang bayi perempuan yang masih hidup ditinggalkan berbalut dengan plastik dan kertas surat khabar di kaki lima sebuah bangunan kedai di Taman Cegar, Simpang Ampat di sini hari ini.

Seorang peniaga yang tinggal di bangunan itu menemui bayi berkenaan yang masih bertali pusat apabila terdengar tangisannya kira-kira pukul 7.56 pagi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supritendan Shafien Mamat berkata, bayi berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Sungai Bakap untuk pemeriksaan lanjut.

"Polis menerima panggilan daripada seorang lelaki memaklumkan dia menemui bayi perempuan yang masih bernyawa dan bertali pusat di kaki lima bangunan rumah kedai.

"Hasil pemeriksaan mendapati, bayi berkenaan yang masih belum diketahui keturunannya seberat 2.58 kilogram dan dilaporkan sihat," katanya di sini hari ini.

Menurut Shafien, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati, tiada objek atau sebarang nota ditinggalkan bersama-sama bayi itu.

Polis katanya, kini menyiasat kes itu di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyembunyikan kelahiran dan sedang mengesan ibu yang melahirkan bayi itu.

Beliau menambah, polis turut menjalankan pemeriksaan di semua klinik di sekitar daerah ini dan hospital berhampiran bagi mengesan ibu bayi berkenaan yang mungkin mendapatkan rawatan susulan selepas melahirkan anak.

Shafien turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment