Thursday, May 20, 2010

Rosnah: Jangan terlalu manjakan anak-anak

Pergerakan Puteri UMNO mengingatkan ibu bapa agar tidak memanjakan anak-anak secara keterlaluan sehingga mampu menjejaskan masa depan mereka.

Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, hampir 80 peratus faktor yang menyumbang kepada masalah sosial di kalangan remaja berpunca daripada sikap ibu bapa dan selebihnya disebabkan faktor persekitaran.

"Kita bukan tidak boleh memanjakan mereka, tetapi mestilah mempunyai batasan. Ini kerana kesilapan ibu bapa hari ini berpunca daripada sikap terlalu memanjakan mereka.

"Kemewahan bukan segala-galanya dalam mendidik anak-anak tetapi apa yang penting adalah kesederhanaan dalam apa jua keadaan," katanya semasa berucap pada majlis makan malam sempena Sambutan Hari Ibu, anjuran Pergerakan Puteri UMNO di sini malam ini.

Dalam pada itu, Rosnah berkata, kebanyakan daripada ibu bapa juga terlalu sibuk dengan kerjaya sehingga terlupa menerapkan nilai agama dalam mendidik anak-anak.

"Menjadi ibu merupakan pengalaman yang amat berharga. Namun pada masa kini, peranan sebagai ibu muda amat mencabar untuk menjaga, membesar dan memberi pendidikan yang terbaik kepada anak-anak.

"Oleh itu, sekiranya kita tersilap dalam mendidik dan memberi asuhan kepada mereka ia pasti memberi kesan buruk apatah lagi dengan terdapatnya pelbagai anasir kurang sihat di sekeliling kita," katanya.

No comments:

Post a Comment