Wednesday, May 19, 2010

Gagasan 1Malaysia selari dengan prinsip Islam



PUTRAJAYA 18 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan di bawah pentadbirannya selari dengan prinsip-prinsip Islam.

Perdana Menteri berkata, ini termasuk prinsip toleransi dan keadilan sosial serta penerimaan kepada kewujudan pelbagai kaum di negara ini.

Beliau yang mengikuti Syarahan Perdana Putrajaya bertajuk Abad Islam: Mitos atau Realiti yang disampaikan oleh Prof. Dr. Ali Al'Amin Mazrui berkata, pembentangan oleh intelektual Islam tentang prinsip-prinsip Islam ternyata selari dengan gagasan 1Malaysia.

''Saya amat tertarik dengan syarahan Dr. Ali Al'Amin Mazrui.

''Beliau juga memetik sepotong ayat al-Quran (maksudnya) Allah menjadikan manusia dalam kelompok, kabilah dan negara supaya kita mengenali antara satu sama lain, bezanya cuma dari segi ketakwaan kepada Allah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengikuti syarahan berkenaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Syarahan yang julung kali diadakan itu merupakan cetusan idea Perdana Menteri sendiri.

Dr. Ali Al'Amin,77, berasal dari Kenya merupakan Pengarah Institut Kajian Kebudayaan Global dan Profesor Albert Schweitzer dalam Kemanusiaan, Universiti Binghamton, Amerika Syarikat (AS).

Hadir sama Pengerusi Media Prima, Datuk Johan Jaaffar.

Perdana Menteri berkata, petikan ayat al-Quran dari Surah al-Hujurat ayat 13 itu menuntut supaya manusia mengamalkan kepimpinan dan cara hidup yang menghargai setiap yang dijadikan Allah iaitu kewujudan kepelbagaian budaya dan kaum.

Dalam hal ini beliau berkata, , sebenarnya Islam dan tamadunnya telah memberi banyak sumbangan kepada dunia malah mendahului negara-negara Barat dalam beberapa aspek.

Katanya, perkembangan yang dilakukan oleh negara Barat antaranya keadilan sosial telah diamalkan lebih dahulu oleh Islam.

''Begitu juga dalam soal pemisahan sosial di AS termasuk melibatkan gereja-gereja mereka (sedangkan) dalam Islam sejak zaman Rasulullah tidak ada perbezaan dari segi kaum dan kabilah.

''Dari segi kedudukan wanita dan beberapa aspek lain telah mendahului negara-negara Barat," katanya.

No comments:

Post a Comment