Tuesday, April 20, 2010

Skandal seks tutup peluang Ribery ke Real Madrid

Prospek Franck Ribery untuk berpindah dari Bayern Munich ke Real Madrid semakin kelam, selepas pemain antarabangsa Perancis itu disiasat polis kerana menjalinkan hubungan dengan pelacur bawah umur, menurut laporan media semalam.

Akhbar sukan harian, Marca tanpa menyatakan sumber berkata, skandal yang menyelubungi pemain tengah berusia 27 tahun "hampir pasti menutup" sebarang peluang untuk menyertai gergasi bola sepak Sepanyol itu.

Sepanjang disoal siasat polis, Ribery, yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak, mengaku menjalinkan hubungan dengan pelacur tetapi menegaskan, dia tidak tahu gadis itu sebenarnya di bawah umur, kata pegawai kehakiman Perancis kepada AFP semalam.

Menurut pegawai itu lagi, sekarang terpulang kepada hakim sama ada hendak meneruskan kes atau menggugurkannya.

Jika didakwa dan didapati bersalah, Ribery boleh berdepan hukuman maksimum tiga tahun penjara dan denda 45,000 euro (RM204,000).

Minggu lalu, Ribery, yang menjadi sasaran Real musim depan berkata, dia akan membuat keputusan mengenai masa depannya dalam tempoh 10 hari.

Kontraknya bersama Bayern hanya akan berakhir tahun depan, namun pemain Perancis itu memberi isyarat bahawa dia berminat untuk berpindah ke Sepanyol jika membuat keputusan meninggalkan Bavaria.

Ribery bagaimanapun menegaskan, belum ada sebarang keputusan dibuat berhubung perkara itu. - AFP

No comments:

Post a Comment