Wednesday, April 21, 2010

Liverpool tak terjejas tempuh perjalanan 2,000km

MADRID - Perjalanan sejauh 2000 kilometer yang terpaksa diharungi Liverpool untuk sampai di Madrid pada perlawanan separuh akhir pertama Liga Europa menentang Atletico, tidak akan memberi kesan terhadap prestasi pasukan itu, kata pemain tengah Atletico, Jurado.

Sekatan ruang udara disebabkan letupan gunung berapi di Iceland memaksa jurulatih, Rafael Benitez dan pemainnya mencari alternatif lain untuk berkunjung ke Madrid.

Mereka menaiki keretapi ke London kelmarin pada waktu makan tengah hari, meneruskan perjalanan dengan menggunakan perkhidmatan Eurostar ke Paris.

Mereka bercadang untuk menaiki keretapi ke Bordeux semalam, dan menaiki kapal terbang ke Madrid.

"Saya rasa simpati dengan mereka kerana terpaksa menempuhi perjalanan yang jauh.

''Namun, saya merasakan mereka tidak akan mempamerkan aksi yang berbeza di atas padang.

"Cuma mereka akan berasa penat selepas beraksi pada Isnin lalu selepas menang 3-0 ke atas West Ham.

"Bagaimanapun, dalam saingan separuh akhir seperti ini anda akan menggunakan segala kudrat dan tidak berasa letih," kata Jurado.

Pemain Liverpool menghabiskan masa di dalam keretapi ke London dengan membaca suratkhabar, bermain kad dan melayari internet, berdasarkan sumber dari blog 'The Longest Journey', yang terdapat dalam laman web rasmi kelab tersebut (www.liverpoolfc.tv).

Sebaik tiba di Madrid semalam, Benitez mengadakan sidang akhbar di Stadium Calderon dan pada pukul 4.45 petang waktu tempatan dan menjalani latihan bermula 5.30 petang.

Pemain sayap Atletico, Jose Antonio Reyes percaya pasukannya akan terasa kehilangan Sergio 'Kun' Aguero berbanding Liverpool, yang tidak dapat menurunkan Fernando Torres, ketika kedua-dua pasukan cuba mencari tempat ke saingan akhir pada 12 Mei menentang Hamburg SV atau Fulham.

Penyerang Sepanyol, Torres, yang merupakan pemain kesayangan penyokong sebelum berpindah ke Liga Perdana England pada Julai 2007, menjalani pembedahan lutut Ahad lalu, dan tidak dapat beraksi selama enam minggu. - Reuters

Penyerang Argentina, Aguero pula digantung perlawanan.

"Saya mengakui ia adalah berita baik buat kami kerana ketiadaan Torres, walaupun kami berasa sedikit terkilan kerana tidak dapat melihat salah, seorang pemain terbaik beraksi.

"Pasukannya akan bergelut tanpa kehadirannya, sama seperti penyokong kami.

"Kedua-dua pasukan kehilangan pemain penting, walaupun saya merasakan ketiadaan Kun lebih dirasai kerana dia adalah tonggak Atletico.

"Kami terasa kehilangannya tetapi saya berharap ia tidak keterlaluan," kata Reyes.

Atletico agak bergelut dalam saingan Liga Sepanyol musim ini, tetapi berjaya melangkah ke saingan akhir piala domestik dan ketua pasukan Liverpool, Steven Gerrard berkata, kelab Sepanyol itu mampu untuk mengalahkan sesiapa sahaja, jika berada pada prestasi terbaik.

"Ia bergantung kepada corak permainan Atletico di atas padang, mereka seperti kami adakalanya menjangkakan mereka akan mencatatkan kemenangan, tetapi tidak.

"Ia akan menyaksikan perlawanan sengit, piala ini sangat penting buat kedua-dua pasukan dan suasananya akan berlangsung menarik," katanya. - Reuters

Barisan kemungkinan

Atletico Madrid: David De Gea; Juan Valera, Alvaro Dominguez, Tomas Ujfalusi, Antonio Lopez; Paulo Assuncao, Raul Garcia; Jose Antonio Reyes, Jurado, Simao Sabrosa; Diego Forlan

Liverpool: Pepe Reina; Glen Johnson, Daniel Agger, Jamie Carragher, Sotiris Kyrgiakos; Javier Mascherano, Lucas; Dirk Kuyt, Steven Gerrard, Yossi Benayoun; David Ngog

No comments:

Post a Comment