Wednesday, April 21, 2010

Inter terbayang pentas final liga juara-juara

MILAN - Inter Milan merencatkan hajat Barcelona untuk sekali lagi menjulang trofi Liga Juara-Juara, apabila menewaskan juara bertahan itu 3-1 pada separuh akhir pertama, semalam.

''Kami berjaya mengalahkan pasukan terbaik di dunia,'' kata jurulatih Inter, Jose Mourinho.

Pedro Rodriguez menjaringkan gol pendahulu untuk Barcelona pada minit ke-19, tetapi Wesley Sneijder menyamakan kedudukan sebelum rehat.

Sejurus babak kedua, Maicon menjaringkan gol untuk giliran Inter pula mendahului pasukan pelawat, sebelum Diego Milito menyumbat gol ketiga.

''Sebelum ini saya cuma katakan peluang kami 50-50, dan apa yang kita lihat hari ini bukan mimpi, ia satu realiti.

''Kami menentang Barcelona dan kami menang. Kami masih ada satu lagi perlawanan menentang Barcelona dan saya masih katakan peluang tetap 50-50,'' kata Mourinho.

Bagaimanapun, mengulas mengenai perlawanan kedua, katanya, jika Inter tewas tipis pada aksi di padang lawan, ia sudah memadai.

''Kami mahu ke perlawanan akhir, tetapi Barcelona merupakan pasukan yang hebat, dengan jurulatih dan pemain yang bagus.

''Tewas 2-1 di sana sudah cukup buat kami, berbanding kemenangan 3-1 malam ini,'' ujarnya.

Pada perlawanan semalam, pemain Barcelona jelas keletihan, kesan daripada perjalanan sejauh 725 kilometer dengan menaiki bas.

Ini disebabkan pengangkutan udara di Eropah tidak dapat beroperasi, ekoran letusan gunung berapi di Iceland.

Inter mungkin bakal menghadapi perjalanan yang sama pada perlawanan timbal balik kedua, Rabu ini.

''Saya bukan doktor, jadi saya tidak boleh ulas sama ada perjalanan jauh ke sini telah menjejaskan kami.

''Keputusan di sini memang tidak bagus, kami kerap kehilangan bola.

''Hari ini bukan permainan terbaik kami,'' kata jurulatih Barcelona, Pep Guardiola.

Barcelona juga kehilangan khidmat ketua pasukan, Carles Puyol pada perlawanan kedua nanti, selepas pemain itu menerima kad kuning kedua, apabila mengkasari Milito.

Selepas aksi permulaan yang agak perlahan, Inter memperoleh peluang gol menerusi Samuel Eto'o, sehingga memaksa Victor Valdes menyepak bola keluar dari kawasan bahaya.

Namun, sepakan Valdes berjaya ditampan Milito, mujur pemain itu gagal melakukan penyudah tepat.

Barcelona membuka jaringan apabila Maxwell melepasi halangan Esteban Cambiasso, yang kemudiannya menolak bola ke arah Pedro, sebelum pemain sayap itu melakukan rembatan rendah dari dalam kotak penalti yang menerjah jaring.

Milito terlepas peluang menjaringkan gol pada minit ke-27, setelah Goran Pandev menguis bola ke arah Puyol yang kemudiannya menghantar kepada Milito, tetapi, percubaannya tinggi melepasi Valdes.

Inter meledak jaringan pada minit ke-30 apabila Eto'o, yang menerima hantaran Milito, berjaya melepasi pertahanan Bercelona, dengan menolak bola ke arah Sneijder, yang kemudiannya merembat deras ke gawang.

Pasukan bimbingan Mourinho kemudiannya berjaya mendahului perlawanan pada separuh masa kedua menerusi Maicon, yang menerima hantaran dari Milito untuk gol kedua pasukan tuan rumah.

Messi memiliki peluang pertama pada minit ke-53, namun, penjaga gol Julio Cesar berjaya menyelamatkan percubaan pemain Argentina itu.

Seminit kemudian, Cesar sekali lagi diuji, apabila Sergio Busquets yang menerima hantaran bola Xavi Hernandez menerusi sepakan percuma, berjaya disepak keluar oleh Cambiasso dari kawasan bahaya.

Milito akhirnya berjaya menjaringkan gol pada minit ke-61 menerusi tandukan, hasil gerakan yang dimulakan oleh Sneidjer.

''Malam ini kami bekerja keras sehingga ke penghujung perlawanan.

''Beberapa pemain seperti Milito dan Lucio mengalami kekejangan.

''Pasukan ini memberi tumpuan sepenuhnya kepada permainan. Cristian Chivu dan Dejan Stankovic yang dimasukkan sebagai pemain gantian, turut bertungkus lumus,'' jelas Mourinho.

Inter berjaya menyekat kemaraan Barcelona daripada bermain seperti mana kebiasaan mereka.

Malah, pasukan pelawat itu berpeluang merapatkan kedudukan gol menerusi sepakan percuma Messi pada minit ke-79, namun, Thiago Motta berjaya menghalang Gerard Pique.

''Ini merupakan perlawanan separuh akhir Liga Juara Juara, jadi ia bukan mudah.

''Liga Juara Juara selalunya sukar. Kami telah mencuba tetapi kami tidak mempunyai peluang tersebut.

''Memang kadang kala berlaku apabila anda bermain menentang pasukan yang hebat seperti Inter," katanya. - AP

No comments:

Post a Comment