Tuesday, April 20, 2010

messi atau naik bas ?

MILAN - Walaupun terpaksa bertolak ke Milan dengan menaiki bas kerana penerbangan Eropah dibatalkan akibat debu gunung berapi, ia tidak menyekat Lionel Messi dan rakan-rakan untuk 'meledak' apabila berdepan Inter Milan pada separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah, esok.

Inter sebaliknya perlu mencari jalan bagaimana hendak menyekat Messi daripada menjaringkan gol seperti yang dilakukan September lalu, apabila kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan dalam saingan kumpulan di San Siro.

Ketika ini, persiapan Barcelona tampak serba tidak kena; bukan saja terpaksa mengharungi perjalanan jauh 985 kilometer dan bermalam di Cannes, malah mereka baru menerima tamparan diikat 0-0 dengan Espanyol dalam liga domestik, kelmarin.

Inter mempunyai banyak kelebihan untuk menjinakkan lawan yang agak keletihan dan terpaksa pula beraksi di depan penyokong lawan.

Namun, Messi dan rakan-rakan tidak mahu menjadikan kepayahan mereka sebagai alasan untuk tidak mencatat keputusan terbaik di San Siro.

"Walaupun mengharungi perjalanan panjang agak meletihkan, namun ada perkara positif kami dapat daripada keadaan ini, kami menghabiskan lebih banyak masa dengan jurulatih dan rakan-rakan, ia menjadikan kami bertambah erat dan bersatu.

"Memang kami tidak biasa dengan perjalanan jauh tetapi selepas dihiburkan dengan muzik dan menonton filem, perjalanan terasa lebih pendek,'' kata pemain tengah Barcelona, Sergio Busquets.

Barca berkunjung ke Inter tanpa bintang tengah, Andres Iniesta yang cedera, namun bekas penyerang Inter, Zlatan Ibrahimovic dan pertahanan kiri, Eric Abidal sedia untuk kembali mengukuhkan pasukan.

Dalam perlawanan menentang Esepanyol kelmarin, Guardiola merehatkan satu penyerang untuk memberi ruang kepada pertahanan, Daniel Alves dan Maxwell menyekat kemasukan lawan.

Bagaimanapun taktik itu kurang efektif, dan sekiranya ia digunakan untuk berdepan skuad Jose Mourinho, jurulatih yang bijak mencatur strategi, kreativiti Barcelona pasti akan terbantut, di mana Messi dan Xavi bakal diikat pemain-pemain lawan.

Media Itali sebelum ini melaporkan, Mourinho bersedia menggunakan taktik yang mengejutkan untuk menghadapi Barcelona, sama seperti yang dilakukan ketika mengalahkan Chelsea.

Pemain pertahanan kanan, Maicon mungkin diberikan peranan lebih besar untuk menyekat barisan tengah Barcelona.

Badan bola sepak Eropah, UEFA semalam berkata, perlawanan separuh akhir Inter-Barca dan Bayern Munich-Olympique Lyon (esok) tetap diteruskan meskipun negara Eropah kini berdepan masalah pengangkutan udara ekoran debu tebal dari gunung berapi di Iceland.

Keputusan itu nyata melegakan Inter kerana pemain-pemain mereka masih berada pada mood yang tinggi ekoran kemenangan 2-0 ke atas Juventus dalam liga domestik, Jumaat lalu.

Kempen mereka untuk mempertahankan kejuaraan Serie A agak goyah sejak beberapa minggu lalu, meskipun berjaya menyingkirkan Chelsea dari peringkat 16 terbaik.

"Kami kena menghadapi perlawanan ini dengan tenang. Dalam perlawanan seperti ini, kami patut menggunakan lebih banyak otak daripada kaki,'' kata bekas penyerang Barcelona, Samuel Eto'o.

Inter, yang kalah 0-2 kepada Barca dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan, November lalu tidak dapat turun dengan kekuatan penuh esok selepas pertahanan kiri, Davide Santon disahkan tidak beraksi kerana menjalani pembedahan lutut. - Reuters

No comments:

Post a Comment